Tugas dan Tanggungjawab Sebagai Guru Sungguh Mulia di Sisi Allah
Sahabat yang dirahmati Allah, Guru
adalah seorang pendidik sebagai insan yang mulia dan berjasa kerana merekalah
yang bertanggungjawab mendidik manusia bagi melahirkan generasi Muslim yang
beriman dan beramal soleh serta sanggup melaksanakan tugas terhadap diri,
keluarga, masyarakat dan negara. Guru dalam sejarah hidupnya sentiasa
menghargai kejayaan anak didiknya serta sanggup bekorban dan melakukan apa
sahaja untuk manfaat dan kesejahteraan orang lain. Firman Allah s.w.t. di dalam
Al-Quran :
يرفع
الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت
Maksudnya: “Supaya Allah
meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang
diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat”. (Surah
Al-Mujaadalah ayat 11)
Peranan guru adalah luas. Guru
adalah pendidik, pembimbing dan pendorong. Dia juga penyampai ilmu, penggerak
dan penasihat. Ini bermaksud, guru atau pendidik mempunyai tugas dan
tanggungjawab yang mencabar, kepentingan peranan guru itu memang tidak
dapat dinafikan kerana boleh dikatakan setiap ahli masyarakat pada zaman ini
melalui pendidikan yang diberikan oleh guru.
Islam meletakkan tugas sebagai guru
yang melaksanakan tugas tarbiyah adalah ditempat yang sungguh mulia, seluruh
masa yang digunakan dikira sebagai ibadah, setiap langkah dari rumah ke sekolah
dan pulang kerumah dari sekolah akan mendapat satu pahala dan dihapuskan satu
dosa, menyampaikan ilmu secara hikmah dan ikhlas semata-mata kerana Allah
merupakan jihad yang paling tinggi pada pandangan Islam seperti mana yang
dituntut dalam syariat Islam.
Firman Allah s.w.t. maksudnya
: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan
dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan
itu) dengan cara yang lebih baik”.( Surah al-Nahl ayat 125)
Dalam Islam terdapat 4 martabat guru
atau pendidik iaitu:
1- Mudarris : yang bermaksud guru
yang hanya mengajar mata pelajaran kemahiran mereka sahaja.
2- Mu’allim : yang bermaksud guru
yang tidak hanya mengajar mata pelajaran mereka tetapi turut menyampaikan
ilmu-ilmu lain.
3- Mursyid : yang bermaksud guru
yang menyampaikan ilmu dan menunjukkan jalan yang benar.
4- Murabbi : yang bermaksud guru
yang mendidik, memelihara, mengasuh, mentarbiyyah anak didiknya menjadi
manusia yang berilmu, bertaqwa dan beramal soleh.
Sebagai seorang guru yang beriman
dan bertaqwa keempat-empat ciri di atas hendaklah fahami dan dihayati di dalam
kehidupannya sebagai pendidik terutama ciri keempat iaitu mendidik,
memelihara, mengasuh, mentarbiyyah anak didiknya menjadi manusia berilmu,
bertaqwa dan beramal soleh. Jika tugas ini dapat direalisasikan dalam
pendidikannya maka kedudukannya sungguh mulia dan akan duduk berdekatan dengan
Nabi s.a.w di hari akhirat nanti.
Sahabat yang dimuliakan, Peranan
guru dalam mendidik masyarakat amatlah besar dan luas. Antaranya ialah:
1- Menyampai aqidah dan keimanan yang tulin untuk menghidupkan hati dan menghubungkan manusia dengan Allah, meyakinkan pertemuan dengan Allah, mengharapkan rahmatNya dan takutkan siksaanNya.
2- Menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran meliputi fardhu ain dan fardhu kifayah yang menjadi asas ubudiyah (pengabdian diri kepada Allah), hubungan harmoni sesama manusia dan alam.
3- Membentuk akhlak atau peribadi mulia supaya menjadi contoh tauladan kepada orang lain.
Sehubungan dengan itu, marilah kita
sama-sama menghayati nasihat Luqman Al-Hakim sebagaimana yang digambarkan oleh
Al-Quran:
يبنى
أقم الصلوة وأمر بالمعروف وانه عن المنكر واصبر على ماأصابك إن ذلك من عزم الأمور
Maksudnya: “Wahai anakku! Dirikanlah
Solat (sembahyang), dan suruhlah berbuat baik serta cegahlah kemungkaran dan
bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpa kamu, sesungguhnya yang
demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat
melakukannya”. (Surah Luqman : Ayat 17)
Sabda Rasulullah Sollallahu `alaihi
wasallam:
كلكم راع وكلكم مسؤل عن رعيته
Maksudnya: “Setiap kamu adalah
penjaga (pemimpin) dan setiap kamu ditanya berkaitan dengan
tanggungjawabnya”. (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Untuk mengelakkan gejala sosial
daripada merebak dan terus melanda masyarakat kita, maka adalah menjadi tugas
dan tanggungjawab guru di sekolah perlulah menanamkan asas aqidah Islam dan
keimanan kepada Allah s.w.t. Bentuklah jiwa para pelajar supaya berakhlak
dengan akhlak Islam dan takut kepada azab Allah s.w.t jika melakukan maksiat
dan kemungkaran.
Semua guru-guru samaada guru agama
atau guru akademik perlu memainkan peranan yang berat ini dan jangan jemu-jemu
menasihati, mendidik, membentuk dan mengasuh jiwa para pelajar dengan nasihat
yang baik. Guru pula perlulah membawa syaksiah Islam dan akan menjadi contoh
dan ikutan para pelajarnya.
Kasihanilah anak-anak didik kita ini
dengan tutur kata yang lemah lembut kerana fitrah manusia suka kepada
kelembutan. Anggaplah mereka semua seperti anak kita sendiri dekatilah mereka
yang bermasaalah dengan penuh kasih sayang seperti seorang ibu yang mengasihi
anak-anaknya.
Selain daripada guru-guru yang
mengajar di sekolah ibu bapa juga perlulah mengambil tanggungjawab bersama guru
untuk memikul tugas yang besar dan berat ini dan meneruskan pendidikan dirumah
pula. Pihak sekolah pula perlu memperbanyakkan aktiviti-aktiviti ko korikulum
yang menjurus kepada insan beriman dan bertaqwa iaitu dengan menganjurkan kem
motivasi, smart solat, khemah Ibadah, qiyamulail, kelas hafazan, tazkirah
,kuliah agama dan group usrah di waktu-waktu cuti atau hujung minggu.
Lebihkan aktiviti berbentuk agama
daripada aktiviti-aktiviti lain kerana waktu mata pelajaran agama Islam yang
diajarkan terlalu sedikit untuk menampung keperluan ilmu dan tarbiyah kepada
para pelajar.
PIBG sekolah juga boleh mengembeling
tenaga bersama ibu bapa dan guru merangka program yg bermanfaat. Apabila
aktiviti ini dapat dilaksanakan bermakna kita telah sama-sama menyokong
serta memartabatkan profesyen keguruan, sekaligus melaksanakan konsep amar
ma’ruf dan nahi munkar.
Sahabat yang dikasihi, Hujjatul
Islam Al-Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulum Ad-Diin menjelaskan supaya
kita mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak, dengan mengajar Al-Quran,
Hadis-hadis Nabi Sollallahu `alaihi wasallam, sejarah para sahabat r.a
dan para solehin, hukum-hukum agama dan termasuk juga pendidikan jasmani di
sekolah-sekolah.
Antara perkara asas yang mesti
diberi perhatian dan penekanan ialah:
1- Mendidik anak dan remaja
menunaikan solat secara berterusan. Sabda Rasulullah Sollallahu `alaihi
wasallam:
مروا
أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين واضربوهم عليها وهم أبناء عشر وفرقوا فى
المضاجع
Maksudnya: “ Suruhlah anak-anak kamu
mengerjakan solat apabila mereka mencapai umur 7 tahun dan pukullah mereka
apabila mereka mencapai umur 10 tahun serta pisahkan di antara mereka tempat tidur
”.( Hadis Riwayat Abu Daud dan Al-Hakim)
Berkata Sayyidina Ali Karramallahu
wajhah:
علموا
أولادكم وأهليكم الخير وأدبوهم
Maksudnya: “Ajarlah anak-anak kamu
dan ahli rumahtanggamu kebaikan dan perbaikilah adab sopan mereka ”.
2- Mempamerkan tingkah laku dan
tauladan yang baik. Firman Allah taala:
لقد
كان لكم فى رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجوا الله واليوم الأخر وذكر الله كثيرا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya adalah
bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang terbaik iaitu bagi
sesiapa yang sentiasa mengharapkan ( keredhaan ) Allah taala dan (balasan baik)
hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (di
dalam masa Sedih dan Senang)”. (Surah Al-Ahzab:Ayat 21)
Marilah kita sama-sama berusaha
menjayakan matlamat pendidikan untuk melahirkan pelajar dan masyarakat yang
beriman, berilmu , bertaqwa dan berketerampilan, yang dapat menyumbang kepada
pembangunan agama, masyarakat dan negara.
Masyarakat yang ingin kita bina
ialah masyarakat Islam yang berwawasan, bercita-cita luhur dan murni,
bekerjasama, adil dan bertanggungjawab sesama insan.
Guru membawa misi penyempurnaan
akhlak, sebagaimana misi diutusnya Rasulullah Muhammad s.a.w . Nabi sendiri
dengan tegas pernah bersabda: "Innama buitstu liutammima makaarima
al-akhlaq, artinya sesungguhnya aku diutus adalah untuk menyempurnakan akhlak
(manusia)."
Lantaran itu, tidak salah jika ahli
tafsir mengatakan bahwa posisi guru setingkat di bawah Nabi, sebagaimana yang
ia pahami dalam sabda Nabi s.a.w., : "Al-Ulama'u waratsatu al-Anbiya',
(Ulama [menurutnya termasuk guru] adalah pewaris para Nabi).
Sahabat, Guru yang menyampaikan
ilmunya adalah berupa ilmu yang bermanfaat, jika ilmu tersebut di amalkan
berterusan hingga ke hari kiamat maka walaupun ia telah kembali ke alam barzakh
maka pahalanya akan berterusan diperolehi.
Perhatikanlah hadis Nabi s.a.w. yang
bermaksud : "Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka
terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang
bermanafaat dan do'a anak soleh yang mendoakannya (Hadith Riwayat Muslim)
Oleh itu bergembiralah wahai para
guru jasamu tetap dikenang , pahalamu tetap berterusan walaupun kau sudah
tidak ada di dunia ini